Jun 17 2008

Kalimah 3

Published by webmaster under Kalimah

Kalimah Ketiga

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Firman Allah swt (al-Baqarah: 21):

يَاأَيُّهَا النَّاسُ اعْبُدُوا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Beribadatlah…”

Jika anda ingin memahami bagaimana ibadat adalah sebuah perniagaan yang besar dan kebahagiaan yang agung, sebagaimana kefasikan dan kebodohan adalah kerugian yang besar dan kemusnahan yang pasti, maka lihat dan dengarlah kepada sebuah drama berikut:

Pada suatu hari, dua orang tentera menerima suatu arahan untuk pergi ke sebuah bandar yang jauh. Lalu kedua-duanya pun bermusafir bersama-sama hingga akhirnya mereka tiba di sebuah persimpangan jalan. Di persimpangan jalan tersebut, mereka terjumpa seorang lelaki yang berkata kepada mereka:

“Jalan di sebelah kanan ini, di samping tidak terdapat kesulitan, orang yang melaluinya juga akan memperoleh kerehatan, ketenangan dan keuntungan dengan kadar sembilan persepuluh. Manakala jalan di sebelah kiri pula, di samping ia tidak memberikan sebarang manfaat kepada orang yang melaluinya, ia juga akan memudaratkan mereka dengan kadar sembilan persepuluh juga. Perlu dinyatakan, jarak kedua-dua jalan adalah sama. Perbezaan cuma terdapat pada satu perkara sahaja, iaitu orang yang melalui jalan di sebelah kiri tidak perlu mematuhi sebarang undang-undang kerajaan dan boleh melaluinya tanpa perlu membawa sebarang peralatan dan senjata. Oleh itu, dia boleh melaluinya dengan mudah dan memperoleh kerehatan yang disangkakan pada pandangan zahirnya. Manakala orang yang melalui jalan di sebelah kanan pula yang mengikut peraturan ketenteraan, terpaksa memikul sebuah beg yang besar lengkap dengan bekalan makanan seberat empat oka[1] dan sebuah senjata kerajaan seberat dua oka yang dengannya dia boleh mengalahkan setiap musuh yang mendatang.

Setelah mendengar penerangan yang diberikan penunjuk jalan itu, tentera yang mempunyai nasib yang baik lagi berbahagia mengambil jalan sebelah kanan. Dia terus berjalan sambil memikul bebanan yang berat di atas belakang dan bahunya, namun hati dan ruhnya terselamat daripada ribuan paun daripada bebanan ungkitan dan kebimbangan.

Manakala tentera yang celaka dan tidak bernasib baik yang mengutamakan untuk tidak terikat dengan peraturan ketenteraan, serta tidak mahu menurut peraturan dan memberikan komitmen, mengambil jalan sebelah kiri. Meskipun badannya terselamat daripada bebanan beberapa paun, tetapi hatinya kepenatan kerana menanggung ribuan paun ungkitan dan kata-kata yang menyakitkan hati. Ruhnya pula terbenam di bawah kebimbangan yang tidak berpenghujung. Oleh itu, dia berjalan dalam keadaan meminta-minta daripada setiap orang yang ditemuinya. Dia berada dalam keadaan takut dan gentar terhadap segala sesuatu, bimbang terhadap segala kejadian. Setelah tiba ke tempat yang dituju, dia pula dihukum dan menerima balasan hasil daripada penderhakaan yang dilakukannya dan pelariannya daripada mengikut peraturan yang ditetapkan.

Manakala tentera yang melalui jalan sebelah kanan, iaitu tentera yang patuh kepada peraturan ketenteraan dan sentiasa menjaga beg dan senjatanya, dia dapat berjalan dalam keadaan hatinya dipenuhi kerehatan dan perasaannya dipenuhi ketenangan, tanpa berpaling ke kiri atau ke kanan untuk meminta-minta daripada sesiapa, atau merasa tamak terhadap apa yang ada pada orang lain, atau takutkan kepada sesiapa.. Apabila dia tiba ke bandar yang dituju, dia menerima ganjaran selayaknya sebagaimana anggota tentera lain yang berjaya melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya.

Wahai jiwa yang cuai dan tidak terpandu!

Ketahuilah bahawa dua orang yang bermusafir itu, salah seorang daripadanya menggambarkan golongan yang tunduk dan patuh kepada undang-undang Ilahi, manakala yang seorang lagi menggambarkan golongan menderhaka yang menuruti hawa nafsu..

Manakala jalan tersebut adalah jalan kehidupan yang datang daripada alam ruh, kemudian melalui kubur, seterusnya menuju ke alam akhirat..

Manakala beg dan senjata yang dibawa adalah ibadat dan taqwa. Meskipun ibadat kelihatan membebankan pada zahirnya, tetapi pada hakikatnya ia adalah kerehatan dan keringanan yang amat besar yang tidak dapat digambarkan. Ini kerana seseorang yang melakukan ibadat berkata di dalam sembahyangnya: (لاإله إلا الله) yang bermaksud “tiada tuhan melainkan Allah”, iaitu tiada pencipta dan pemberi rezeki melainkan Dia; segala manfaat dan kemudaratan hanya datang daripadaNya; Dia adalah tuhan yang maha bijaksana dan tidak melakukan sesuatu secara sia-sia sebagaimana Dia adalah tuhan yang maha mengasihani, luas kerahmatan dan ihsanNya.

Seseorang mukmin percaya dan yakin dengan apa yang diucapkannya. Oleh itu, pada setiap perkara, dia mendapati suatu pintu yang terbuka yang membawanya kepada khazanah rahmat Ilahi. Lalu dia mengetuk pintu tersebut dengan berdoa. Dia melihat segala sesuatu boleh dipergunakan bagi memenuhi arahan tuhannya, lalu dia berlindung kepada tuhannya dengan bertadharru’ kepadaNya semata-mata. Dia bertahan dan berbenteng daripada setiap musibah yang menimpa bersandarkan kepada tawakkal. Lalu keimanan yang dimilikinya mengurniakan keamanan dan ketenangan yang sempurna kepadanya.

Ya! Sesungguhnya sumber keberanian sama seperti sumber segala sifat baik yang lain, iaitu iman dan ‘ubudiyyah (perhambaan). Manakala sumber kekecutan sebagaimana segala sifat buruk yang lain adalah kesesatan dan kebodohan.

Jika bebola dunia ini pecah dan meletup sekalipun, mungkin ia tidak menakutkan seorang hamba Allah yang mempunyai hati yang bercahaya. Bahkan mungkin dia melihat kepada kejadian tersebut sebagai salah satu perkara ajaib yang dilakukan oleh kudrat Ilahi, lalu dia melihatnya dengan penuh kekaguman dan kenikmatan. Sedangkan seorang fasiq yang mempunyai hati yang mati -meskipun dia adalah seorang ahli falsafah yang dianggap mempunyai akal yang tajam- jika melihat sebuah komet di angkasa, dia akan diselubungi perasaan takut, gementar dan tertanya-tanya dalam keadaan penuh kebimbangan: Adakah komet ini akan berlanggar dengan bumi? Dengan itu dia akan tersembam ke dalam lembah sangkaan. Pada suatu hari, rakyat Amerika pernah mengalami perasaan takut kerana sebiji komet kelihatan di langit, lalu ramai daripada kalangan mereka meninggalkan rumah masing-masing di tengah-tengah kegelapan malam.

Ya! Sekalipun keperluan manusia tidak terbatas, tetapi modalnya boleh dikatakan tiada langsung. Sekalipun dia terdedah kepada musibah yang tidak terbatas, kemampuannya untuk menghadapinya juga boleh dikatakan tiada langsung. Ini kerana modal dan kemampuannya hanya terbatas setakat kawasan yang boleh dicapai oleh tangannya sahaja, sedangkan angan-angan, keinginan, kesakitan dan bala bencana yang dihadapinya adalah seluas pandangan mata dan khayalan.

Alangkah perlunya ruh manusia yang lemah, daif dan miskin ini kepada hakikat ibadat, tawakkal, tauhid dan penyerahan diri yang sebenar! Alangkah besarnya keuntungan, kebahagiaan dan kenikmatan yang diperolehi daripadanya! Sesiapa yang tidak buta secara menyeluruh pasti dapat melihat dan memahaminya. Ini kerana memang dimaklumi, jalan yang tidak memudaratkan pasti akan lebih diutamakan daripada jalan yang memudaratkan, meskipun hanya terdapat satu persepuluh kemungkinan untuk mendapat manfaat daripada jalan tersebut. Perlu diketahui dalam perbincangan kita ini, jalan ibadat, di samping tidak mengundang sebarang kemudaratan, dan kemungkinan manfaat yang diperolehi adalah sembilan persepuluh, ini juga mengurniakan khazanah kebahagiaan abadi kepada kita. Manakala jalan kefasikan dan kebodohan, sebagaimana diakui oleh orang fasik sendiri, di samping ia adalah jalan yang tidak mengandungi sebarang manfaat, ia juga menjadi sebab kecelakan dan kemusnahan abadi. Keyakinan terhadap kerugian dan ketiadaan kebaikan pada jalan tersebut mencapai kadar sembilan persepuluh juga.. Perkara ini dibuktikan melalui penyaksian ahli yang berkelayakan sehingga mencapai tahap mutawatir dan ijmak. Ini adalah keyakinan pasti sebagaimana dinyatakan oleh golongan yang mempunyai dhauq dan kashaf.

Kesimpulan yang diperolehi daripada perbincangan kita ialah:

Sesungguhnya kebahagiaan dunia sama seperti kebahagiaan akhirat, hanya terdapat dalam ibadat dan jundiyyah (ketenteraan) yang ikhlas kepada Allah semata-mata.

Oleh itu, kita hendaklah sentiasa mengulang-ulangi:

Segala puji bagi Allah di atas ketaatan dan taufiq..

Kita juga wajib untuk mensyukuriNya kerana menjadikan kita sebagai orang Islam.


[1]Sejenis timbangan.

No responses yet