Jun 17 2008

Kalimah 4

Published by webmaster under Kalimah

Kalimah Keempat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Sembahyang Adalah Tiang Agama

Jika anda ingin mengetahui kepentingan dan nilai sembahyang, dan betapa ia amat mudah untuk dilaksanakan dan dicapai, dan bahawa sesiapa yang tidak mendirikannya dan tidak menunaikan haknya adalah seorang yang bodoh dan rugi… Ya, jika anda ingin mengetahui tentang kesemuanya itu dengan penuh keyakinan, sebagaimana keyakinan anda terhadap jumlah empat yang diperolehi daripada angka dua yang dicampur dengan angka dua yang lain, maka perhatikanlah cerita hikayat ringkas di bawah:

Pada suatu hari, seorang raja yang bijaksana telah menghantar dua orang khadamnya menuju ke sebuah ladangnya yang indah. Sebelum berangkat, kedua-dua khadamnya itu diberikan wang sebanyak 24 lira emas, agar kedua-duanya dapat tiba ke ladang tersebut yang mempunyai jarak sejauh dua bulan perjalanan. Si raja memerintahkan kedua-dua khadamnya agar membelanjakan wang tersebut untuk harga tiket dan keperluan perjalanan yang lain. Manakala sebahagiannya hendaklah disimpan bagi keperluan perbelanjaan untuk tempat tinggal di sana. Terdapat sebuah stesen perhentian bagi para musafir sejauh sehari perjalanan. Di situ terdapat segala jenis kenderaan pengangkutan seperti kereta, kapal terbang, kapal laut dan keretapi… Setiap satunya mempunyai harga tiket yang berlainan.

Selepas itu, kedua-dua khadam tersebut keluar selepas menerima arahan daripada si raja.. Salah seorang daripada kedua-duanya adalah seorang yang bernasib baik dan bahagia, kerana dia hanya membelanjakan sedikit sahaja daripada wang yang diterimanya sebaik sahaja tiba di stesen tersebut. Dia membelanjakan wang tersebut dalam perniagaan yang mendatangkan keuntungan dan menjadikan si raja merasa bangga dengannya. Dengan itu, modalnya bertambah daripada satu kepada seribu.

Manakala khadam yang kedua, sebaik sahaja sampai ke stesen tersebut, oleh kerana nasibnya tidak baik dan lantaran kebodohannya, dia telah membelanjakan sebanyak 23 lira emas yang ada padanya dalam perkara hiburan dan perjudian. Ini bermakna dia telah membelanjakan kesemua wang yang ada padanya pada perkara yang sia-sia, kecuali yang tinggal hanya satu lira sahaja lagi.

Kawannya, iaitu khadam yang pertama berkata kepadanya untuk menasihatinya:

“Wahai kawanku! Belilah tiket untuk engkau bermusafir dengan satu lira yang masih berbaki pada engkau itu. Janganlah engkau mensia-siakannya juga. Tuan kita adalah seorang yang pemurah dan pengasih. Mungkin dia akan memberikan rahmat dan keampunanNya kepada engkau terhadap kecuaian yang telah engkau lakukan, lalu mereka akan membenarkan engkau menaiki kapalterbang dan sama-sama kita akan sampai ke tempat tujuan kita pada hari yang sama. Tetapi jika engkau tidak lakukan sebagaimana yang aku sarankan ini, maka engkau akan terpaksa menyambung perjalanan yang sejauh dua bulan ini di padang pasir yang kering kontang dengan berjalan kaki. Ketika itu, kelaparan akan menerkam engkau, keseorangan akan mencengkam engkau dalam perjalanan yang panjang ini.”

Perhatikanlah, jika khadam itu tetap berdegil lalu membelanjakan satu lira yang masih berbaki di tangannya demi untuk memenuhi syahwatnya yang sementara dan melampiaskan keinginan untuk memperoleh kelazatan yang sedikit, bukan menggunakannya untuk membeli tiket perjalanan yang merupakan anak kunci kepada suatu khazanah yang luas, maka bukankah itu bermakna bahawa dia adalah seorang yang benar-benar celaka, merugi, bodoh dan tolol…? Bukankah pada ketika itu dia adalah seorang manusia yang paling dungu?

Wahai orang yang tidak menunaikan sembahyang! Wahai jiwaku yang merasa sempit dengan sembahyang!

Sesungguhnya raja atau tuan yang dimaksudkan di dalam kisah di atas adalah tuhan kita yang telah menciptakan kita..

Manakala dua orang khadam yang bermusafir itu pula, maka salah seorang daripadanya adalah seorang yang kuat dan taat beragama yang mendirikan sembahyang dengan penuh kerinduan dan mengerjakannya dengan sebenar-benarnya. Manakala khadam yang kedua pula adalah seorang yang lalai dan meninggalkan sembahyang..

Manakala wang yang berjumlah 24 lira emas itu pula adalah 24 jam bagi setiap hari umur manusia..

Ladang yang indah itu pula adalah syurga..

Manakala stesen perhentian itu pula adalah kubur..

Manakala perjalanan dan pemusafiran yang panjang itu pula adalah perjalanan manusia yang merentasi ke arah kubur dan berjalan menuju kebangkitan semula dan akan bertolak ke negeri yang kekal abadi. Orang-orang yang melalui jalan ini, mereka melaluinya dalam darjat yang berbeza. Setiap orang mengikut sejauh mana amalan dan ketaqwaannya. Segolongan orang yang bertaqwa dapat merentasi jarak sejauh seribu tahun perjalanan hanya dalam tempoh satu hari sahaja, seolah-olah mereka adalah kilat. Manakala segolongan daripada mereka pula dapat merentasi jarak sejauh 50 ribu tahun dalam masa satu hari sahaja, seolah-olah ia adalah satu khayalan. Hakikat ini telah disebutkan secara tidak langsung di dalam dua ayat daripada al-Quran..

Manakala tiket itu pula, maka ia adalah sembahyang yang kelima-lima waktunya berserta dengan masa mengambil wuduk hanya memakan masa tidak lebih satu jam!

Alangkah ruginya orang yang menghabiskan 23 jam kehidupannya seharian di atas dunia yang pendek ini dan tidak mahu menggunakan satu jam lagi bagi menjamin kehidupannya yang abadi dan berkekalan nanti! Alangkah zalimnya orang itu terhadap dirinya! Alangkah bodohnya dia!

Jika mengeluarkan separuh harta yang dimiliki oleh seseorang sebagai harga perjudian yang turut disertai oleh lebih daripada seribu orang lain sudah dianggap sebagai suatu yang boleh diterima akal, sedangkan kemungkinan untuk memenanginya hanya satu perseribu sahaja, bagaimana pula keadaannya jika ada seorang individu yang enggan untuk membelanjakan satu bahagian daripada 24 bahagian yang dimilikinya demi untuk mendapatkan keuntungan yang terjamin, dan demi untuk mencapai khazanah kekayaan yang abadi, yang mana jaminan untuk memperolehnya ialah pada kadar 99 peratus..? Bukankah tindakan tersebut dianggap bercanggah dengan akal yang waras dan jauh daripada hikmah kebijaksanaan..? Bukankah semua orang yang menganggap dirinya berakal tidak boleh menerima perkara ini..?

Sesungguhnya sembahyang itu sendiri merupakan kerehatan agung bagi ruh, hati dan akal. Tambahan pula, ia bukanlah satu amalan yang memenatkan badan. Lebih daripada itu, segala amalan keduniaan yang harus dilakukan oleh orang yang bersembahyang dianggap sebagai ibadat baginya jika dilakukan dengan niat yang salih.. Dengan itu, seseorang yang bersembahyang akan dapat menukarkan seluruh modalnya iaitu umurnya untuk kepentingan akhiratnya. Dengan itu, dia akan memperoleh umur yang berkekalan (di akhirat) dengan umurnya yang binasa (di dunia).

No responses yet