Jun 17 2008
Kalimah 5
Kalimah Kelima
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani
Firman Allah swt dalam surah al-Nahl, ayat 128:
إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوْا وَالَّذِينَ هُمْ مُحْسِنُونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa, dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”
Jika anda ingin melihat bahawa mendirikan sembahyang dan menjauhi dosa besar merupakan tugas hakiki yang layak dilaksanakan oleh manusia dan merupakan natijah fitrah yang sesuai dengan penciptaannya.. maka perhatikanlah dan dengarkanlah kisah drama yang ringkas ini:
Ketika Perang Dunia Pertama dahulu, dan di kalangan salah satu pasukan tentera, terdapat dua orang askar. Salah seorang daripadanya adalah seorang yang terlatih dalam tugasnya dan amat rajin menjalankan kewajipannya. Manakala askar kedua pula adalah seorang yang jahil tentang tugasnya dan hanya mengikut hawa nafsunya. Askar yang pertama sentiasa memberikan perhatian terhadap seluruh latihan dan hal ehwal peperangan. Langsung dia tidak memikirkan tentang keperluan kehidupan dan pendapatannya, kerana dia yakin sepenuhnya bahawa urusan kehidupannya, penjagaan hal ehwalnya dan penyediaan persenjataan, bahkan perubatannya jika dia ditimpa sakit, hinggakan menyuap makanan (jika diperlukan) ke dalam mulutnya, semuanya adalah tanggungjawab negara terhadapnya. Manakala kewajipannya yang asasi hanyalah berlatih tentang taktik-taktik peperangan, itu sahaja. Dalam masa yang sama, dia tahu bahawa mungkin kadang-kadang dia mesti melakukan beberapa persiapan tertentu dan perkara kehidupan lain seperti memasak dan membasuh peralatan yang digunakan. Meskipun dalam keadaan tersebut, jika ditanya: Apakah yang sedang anda lakukan?, maka dia akan menjawab: “Saya sedang menjalankan tanggungjawab saya terhadap negara secara sukarela.” Dia tidak menjawab dengan berkata: “Saya hanya mencari makan.”
Manakala askar kedua yang jahil tentang kewajipannya, maka dia sedikitpun tidak mengendahkan latihan yang dijalani dan peperangan yang sedang dihadapi. Dia berkata: “Itu semua adalah kewajipan negara. Tidak ada hubungannya dengan saya!” Lalu dia hanya menyibukkan dirinya dengan perkara-perkara kehidupannya dan berusaha untuk sentiasa menambahnya, bahkan kadang-kadang dia bertindak meninggalkan pasukannya kerana menjalankan perniagaan di pasar.
Pada suatu hari, kawannya yang rajin itu berkata kepadanya:
“Wahai saudaraku! Tugas engkau yang asal ialah berlatih dan bersiap siaga untuk menghadapi peperangan. Engkau didatangkan ke mari hanya untuk menjalankan tugas tersebut. Bergantunglah kepada raja dan bertenanglah kerana segala urusan kehidupan engkau ditanggung olehnya. Dia sama sekali tidak akan meninggalkan engkau dalam kelaparan, kerana itu adalah kewajipan dan tugasnya. Kemudian engkau sendiri juga adalah seorang yang lemah dan fakir. Sekali-kali engkau tidak akan mampu untuk menguruskan urusan kehidupan engkau sendiri. Lebih dari itu, kita sekarang sedang berada dalam zaman jihad dan di medan perang dunia yang besar. Saya bimbang mereka akan menganggap engkau sebagai seorang yang melanggar perintah lalu mengenakan hukuman yang berat terhadap engkau.
Ya, hanya terdapat dua tugas yang kelihatan di hadapan kita:
Pertama: Tugas pemerintah, iaitu menjaga segala keperluan kehidupan kita. Mungkin kita dipergunakan secara percuma untuk melaksanakan tugas tersebut.
Kedua: Tugas kita sendiri, iaitu berlatih dan bersedia menghadapi peperangan. Pemerintah memberikan kepada kita segala bantuan dan kemudahan yang diperlukan.
Wahai saudaraku! Perhatikanlah, sekiranya askar yang cuai itu tidak memberikan perhatian terhadap nasihat rakannya yang rajin dan terlatih itu, betapa dia akan mengalami kerugian dan terdedah kepada bahaya dan kebinasaan!
Wahai jiwaku yang malas!
Sesungguhnya medan yang sedang bergejolak dengan bahang peperangan itu sebenarnya adalah bumi yang sedang bergolak ini.. Manakala angkatan tentera yang terbahagi kepada beberapa pasukan itu pula adalah generasi-generasi manusia.. Manakala pasukan tentera itu sendiri adalah masyarakat Islam semasa.. Manakala dua orang askar itu pula, salah seorang daripadanya adalah seorang yang mengenal Allah dan mengerjakan segala kefarduanNya serta menjauhi segala laranganNya. Dia adalah seorang Muslim bertaqwa yang berjuang memperbaiki dirinya dan berjuang menentang syaitan kerana takut terjatuh ke dalam lembah kesalahan dan dosa.. Manakala askar yang kedua pula adalah seorang yang fasiq dan mengalami kerugian kerana hanya sibuk memenuhi keperluan hidup sehingga tidak percaya kepada pemberi rezeki yang hakiki. Dia tidak peduli meskipun dia terpaksa meninggalkan perkara fardu dan terdedah kepada pelbagai perkara maksiat demi untuk mendapat sesuap kehidupan.. Manakala segala latihan dan taklimat yang diberikan, maka ia adalah ibadat dengan sembahyang menjadi kepalanya.. Manakala peperangan itu pula adalah perjuangan manusia menentang diri dan nafsunya sendiri, serta perjuangannya untuk menjauhkan diri daripada segala bentuk kesalahan dan akhlak yang hina, serta perjuangannya menentang syaitan yang terdiri daripada kalangan jin dan manusia, demi menyelamatkan hati dan ruhnya daripada kemusnahan abadi dan kerugian yang nyata.
Manakala kedua-dua tugas tersebut pula, maka yang pertama ialah pengurniaan dan pemeliharaan kehidupan. Manakala yang kedua pula adalah ibadat terhadap tuhan yang memberi dan menjaga kehidupan, serta hanya meminta daripadaNya, bertawakkal dan bertenang hati hanya kepadaNya semata-mata.
Benar! Sesungguhnya tuhan yang mengurniakan kehidupan ini dan melahirkannya dalam bentuk yang teguh merupakan satu mukjizat yang bercahaya. Ia menjadikan kehidupan ini sebagai satu hikmat rabbani yang menakjubkan dan hanya dia yang mampu menjaganya. Bahkan hanya dia sahaja yang dapat menjaganya dan mengekalkan kewujudannya melalui pengurniaan rezeki yang melimpah-limpah.
Adakah anda mahukan bukti terhadap perkara tersebut?!
Haiwan yang paling lemah sekalipun tetap diberikan rezeki, bahkan rezeki yang paling baik (seperti ikan dan ulat di dalam buah-buahan). Makhluk manusia yang paling lemah sekalipun juga tetap dapat memakan rezeki yang paling baik dan enak (seperti kanak-kanak kecil).
Untuk anda memahami bahawa sarana untuk memperoleh rezeki yang halal bukanlah melalui kekuatan dan pilihan seseorang, bahkan sarananya yang sebenar ialah sifat lemah dan daif, maka cukuplah anda melakukan perbandingan antara ikan yang bodoh dengan musang, atau antara kanak-kanak kecil yang tidak mempunyai sebarang kekuatan dengan binatang-binatang buas yang menerkam, atau antara pokok-pokok besar yang berceracak dengan binatang-binatang yang melata.
Oleh itu, orang yang meninggalkan sembahyang demi untuk memperoleh keperluan kehidupan, maka perbandingannya adalah sama dengan askar yang meninggalkan latihan dan kemnya lalu pergi mengemis dan melepak di pasar. Manakala orang yang mendirikan sembahyang tanpa melupakan bahagian rezekinya dengan mencarinya di dalam dapur rahmat tuhannya yang maha pemurah agar dia tidak hidup dalam keadaan mengharapkan pemberian orang, maka apa yang dilakukannya itu adalah suatu perkara yang baik, bahkan tindakannya itu adalah tanda sifat kelakian dan kemuliaan diri, serta ia juga adalah sebahagian daripada ibadat.
Fitrah manusia dan segala kelengkapan maknawi yang dikurniakan oleh Allah pada dirinya menunjukkan bahawa manusia dicipta untuk melakukan ibadat. Ini kerana segala kekuatan serta kemampuan yang dikurniakan kepadanya dan segala pekerjaan yang dilakukannya dalam kehidupan di dunia ini tidak dapat menyampaikannya kepada kedudukan burung yang paling rendah sekalipun (yang mana burung pun menikmati kehidupan yang jauh lebih baik daripadanya). Sedangkan manusia boleh menjadi sultan kepada seluruh alam ini dan menjadi penghulu kepada seluruh makhluk di dalam kehidupan maknawi dan ukhrawi berdasarkan ilmunya, keberhajatannya dan peribadatannya yang dilakukan kerana Allah.
Wahai jiwaku!
Jika engkau menjadikan kehidupan di dunia ini sebagai matlamat utama dan berusaha bersungguh-sungguh demi untuk mendapatkannya, maka engkau akan berada pada kedudukan seekor burung yang paling kecil.
Manakala jika engkau menjadikan kehidupan akhirat sebagai matlamat tertinggi dan menjadikan kehidupan dunia hanya sebagai wasilah dan ladang tempat bercucuk tanam sahaja dengan engkau membuat usaha sekadarnya… maka engkau akan menjadi penghulu kepada segala hidupan yang ada dan hamba yang mulia di sisi tuhan yang maha mencipta dan maha mulia. Engkau juga akan menjadi tetamu yang diraikan lagi dimuliakan di atas bumi ini.
Di hadapan anda terdapat dua jalan. Maka pilihlah yang mana anda mahu lalui.
Sebelum itu, pohonlah hidayah dan taufiq daripada tuhan yang maha mengasihani.